OKU miliki hobi luar biasa, curi coli pelajar universiti ditahan

SIAPA sangka lelaki kurang upaya (OKU) memiliki hobi yang luar biasa apabila dicekup setelah didapati mencuri pakaian dalam pelajar sebuah universiti di Kuala Nerus.

Perbuatan aneh lelaki OKU berusia 37 tahun itu akhirnya terbongkar selepas pergerakan di kawasan asrama tersebut berjaya dihidu sekumpulan pelajar sebelum bertindak menghubungi polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 7 petang pada hari yang sama di lokasi terbabit.

“Suspek yang juga OKU pendengaran telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Selain itu hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mencuri dan menceroboh.

Terdahulu, perbuatan terkutuk lelaki OKU itu juga tular di media sosial ketika sedang asyik melakukan hobi pelik tersebut.