Viral gajah pecah masuk rumah, rupanya sebab…

TERBARU tular gambar gajah yang dilihat tiba-tiba muncul pada runtuhan dinding rumah di bahagian dapur.

Difahamkan, situasi yang berlaku di Hua Hin, Selatan Thailand ity adalah kerana haiwan tersebut dipercayai sedang kelaparan dan mencari makanan. Namun, ia bertindak dengan merobohkan dinding dapur rumah orang untuk mencuri beras pada jam 2 pagi, 20 Jun lalu.

Gajah yang bernama Plai Bunchuay dipercayai telah menghidu bau makanan dan menceroboh masuk rumah tersebut dan ketika kejadian Rachadawan Phungprasopporn dan suaminya terbangun gara-gara terdengar bunyi yang kuat.

Mereka terus bergegas ke dapur untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila melihat gajah dengan gading besar sedang menyelongkar almari dengan belalainya yang panjang.

Menurut sumber, gajah tersebut telah mencengkam sebungkus plastik berisi beras lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Kemudian, suami Rachadawan langsung menghalau haiwan itu di kawasan hutan yang berdekatan.

Menurut Rachadawan, “Gajah ini terkenal di kawasan itu kerana telah menyebabkan banyak kemusnahan. Ia pernah datang ke rumah ini kira-kira dua bulan lalu dan mencari-cari sesuatu, tetapi ketika itu dia tidak merosakkan apa-apa”.

Dalam pada itu, mereka juga telah memaklumkan hal tersebut kepada petugas hidupan liar setempat dan mereka menasihatkan agar tidak menyimpan makanan di dapur kerana bau makanan mampu menarik gajah.

Walaupun kejadian tersebut lucu tetapi pasangan itu masih bimbang jika gajah berkenaan kembali lagi, selain itu jumlah perbelanjaan untuk membaiki bahagian dapur adalah sekitar 50,000 Baht (RM6,545).

Untuk pengetahuan, Thailand dianggarkan mempunyai kira-kira 2.000 gajah Asia yang tinggal di hutan. Walau bagaimanapun, kejadian gajah-gajah berinteraksi dengan manusia di jalan raya atau kampung juga dilihat tidak pelik.