Gadis cantik tergamam video bersin ditonton lebih 10 juta kali seminggu

JANGAN tak percaya, tapi seorang pelajar perempuan di Indonesia terkejut besar selepas mendapati klip video bersin yang dimuat naik secara tidak sengaja tiba-tiba viral dan kini telah ditonton lebih 10 juta kali, lapor akhbar Daily Mail.

Gadis cantik itu, Jiddana Dusturia yang tinggal di sebuah kampung di Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia mendakwa, dia sebenarnya secara tidak sengaja memuat naik klip itu di TikTok sebelum tidur.

Video bersin Jiddana telah ditonton lebih 10 juta kali di TikTok.

Rakaman video menerusi akaun @jiddussgrinaaa03 sudah ditonton lebih 10 juta kali dalam tempoh kurang satu minggu.

Berdasarkan rakaman, Jiddana dilihat membetulkan kedudukan tudung semasa duduk di hadapan kamera dan tiba-tiba bersin.

Remaja yang berpakaian seragam sekolah itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menamatkan rakaman.

Bagaimanapun, dia mendakwa secara tidak sengaja memuat naik rakaman ke akaun sendiri dan dapat dilihat kira-kira 762,000 pengikutnya.

“Saya bersin semasa membuat rakaman video dan secara tidak sengaja menekan butang muat naik semasa mahu menamatkan rakaman,” katanya.

Jiddana tidak menyangka video dia sedang terbersin boleh viral di Internet.

Jiddana memberitahu, dia cuma menyedari kesilapan itu selepas menerima berpuluh-puluh mesej dalam grup perbualan TikTok bahawa klip videonya kini viral menerusi aplikasi perkongsian For You Page.

Rata-rata penonton klip itu mendakwa ramai individu suka melihat reaksi dia bersin dan menyifatkan aksi itu berlaku secara spontan. – Agensi

Sumber: Kosmo!