Tumpang secara haram, remaja berpaut pada tayar kapal terbang

- Gambar kredit: Getty Images

SEORANG remaja ditemui dalam keadaan berpaut pada peralatan pendaratan sebuah pesawat Airbus A330 yang berlepas dari London menuju Belanda kelmarin, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar The Sun, remaja berusia 16 tahun itu ditemui oleh pekerja Lapangan Terbang Maastricht Aachen di bandar Limburg. Dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius. Remaja lelaki itu berada di dalam kompartmen pendaratan pesawat yang terbang pada altitud 5,791 meter.

Seorang jurucakap Lapangan Terbang Maastricht Aachen di bandar Limburg memberitahu DutchNews.nl bahawa remaja warga Kenya dapat bertahan sehingga pesawat mendarat. Jarak antara London dan Limburg adalah 420 kilometer.

Menurut kenyataan Twitter Royal Marechaussee, dia dirawat di hospital kerana hipotermia, namun berada dalam keadaan baik. Royal Marechausee adalah unit polis tentera Belanda.

Pihak berkuasa Limburg akan menyiasat kes tersebut yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan jenayah pemerdagangan manusia.

Menurut majalah penerbangan Belanda, Luchtvaart Nieuws, satu-satunya penerbangan kargo yang mendarat dari London di Lapangan Terbang Maastricht kelmarin adalah TK6305 iaitu pesawat Airbus A330 milik penerbangan Turkish Airlines.

Sehari sebelumnya, pesawat itu terbang ke London Stansted dari Nairobi melalui Istanbul yang mungkin menjadi lokasi remaja itu mula menaiki penerbangan secara haram.

Sumber: Kosmo!