Trump berundur, tak jadi perang dengan Iran

Kredit-CNN.COM

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berundur dari ambang perang dengan Iran atas alasan Teheran nampak ‘bertenang’ selepas melancarkan serangan peluru berpandu terhadap tentera AS.

Dipercayai, sebanyak 12 roket Iran melepaskan ke pangkalan, menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Ain al-Asad serta Irbil, di Iraq, semalam.

Kemudian, Trump, dalam ucapannya dari Rumah Putih, menegaskan tiada warga AS yang cedera dalam serangan itu dan berikrar akan menghukum Iran dengan mengenakan sekatan ekonomi yang baru.

Beliau juga mengalu-alukan tindakan Teheran yang dikatakan kini ‘bertenang’ dalam pertembungan membalas dendam itu.

Kenyataan itu menampakkan usaha untuk meredakan ketegangan berikutan pembunuhan komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani, atas arahan Trump Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Trump mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan orang nombor dua paling berpengaruh di Iran itu ‘pengganas nombor satu dunia’ dan sepatutnya sudah lama dibunuh.