Home Berita Luar Negara Teringin Pakai iPhone, Wanita China Sanggup Gigit Wayar Anti-Curi Sebelum Curi

Teringin Pakai iPhone, Wanita China Sanggup Gigit Wayar Anti-Curi Sebelum Curi

Beijing: Wanita China sanggup menggigit sebelum mengunyah wayar anti-curi bagi memastikan dia dapat memiliki iPhone yang dipamerkan di kedai tanpa tanpa sebarang bayaran.

Perbuatan wanita itu, Qiu, diperhatikan pada rakaman kamera keselamatan di Apple Store di Fuzhou City, wilayah Fujian.

Rakaman tular itu menunjukkan, wanita itu memasuki kedai elektronik dan terus menuju ke bahagian telefon pintar sebelum dilihat memeriksa peranti dipamerkan.

Wanita itu juga memerhatikan sekeliling untuk memastikan keadaan selamat sebelum dia mengambil satu iPhone dan mula mengunyah wayar anti-kecurian yang sensitif dan mudah mengeluarkan bunyi amaran.

Walaupun tindakan wanita itu menyebabkan penggera berbunyi, namun kakitangan menganggap itu perkara biasa dan hanya menghentikan gangguan itu.

Tindakan itu memberi peluang kepada wanita itu keluar dengan mudah dengan iPhone dicuri pada tangannya.

Namun, kegembiraan wanita itu tidak lama apabila kakitangan kedai itu menyedari kehilangan telefon pintar itu sejurus selepas dia keluar sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Akhirnya, suspek berjaya ditahan dalam masa singkat selepas pihak berkuasa menjejakinya menerusi teknologi pengecaman wajah.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan, wanita itu cuba menjelaskan dia baru-baru ini kehilangan telefonnya dan dia berhasrat membeli yang baharu, namun menangguhkan hasratnya kerana ia mahal.

Dia akhirnya memutuskan taktik aneh itu selepas tidak mampu membelanjakan 7,000 yuan (RM4,470.36) untuk membeli telefon baharu.

Sabit kesalahan, wanita itu berdepan hukuman penjara tiga tahun dan denda 200,000 yuan (RM127,724.66).

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version