Terima kecaman hebat, Pereka Fesyen Zara tutup akaun Instagram!

AKIBAT memuat naik kenyataan berbentuk kontroversi terhadap isu Palestin, Ketua Pereka Fesyen Wanita jenama terkemuka Zara bertindak menutup akaun sosial media Instagram miliknya setelah menerima kecaman teruk.

Vanessa Perilmen baru-baru ini dikatakan telah membuat kenyataan yang seolah-olah memperlekehkan berhubung situasi yang melanda di Palestin ketika umat Islam di negara itu kini dihujani peluru berpandu hampir setiap hari.

Kenyataannya itu telah dihantar kepada seorang model warga Palestin, Qaher Harhash menerusi akaun Instagramnya sebelum kenyataan tersebut ditangkap layar oleh Qaher yang seterusnya dimuat naik kembali.

““Mungkin jika orang kamu terpelajar, mereka tidak mengebom hospital dan sekolah yang Israel tolong bina di Gaza.

“Warga Israel tidak mengajar anak-anak mereka untuk membenci atau membaling batu kepada askar seperti orang kamu lakukan,” dakwa Vanessa menerusi mesej yang dikirimkan kepada model berkenaan.

Isu yang hangat diperkatakan oleh warganet yang mengundang kecaman hebat termasuk kemarahan netizen terhadap jenama berkenaan mengakibatkan Vanessa menutup akaun Instagramnya.

Qaher dalam pada itu merasakan tindakan Vanessa itu jelas menunjukkan dia dalam ketakutan sebaik sahaja dikecam hebat di media sosial.

“Dia berasa takut dengan kecaman dan ancaman yang diterima akibat kejahilannya.

“Setakat ini, Vanessa masih belum lagi dipecat syarikat berkenaan,” katanya di Instagram.

Tidak cukup dengan itu, Qaher turut mendedahkan, syarikat jenama tersebut telah meminta pihaknya untuk membuat permohonan maaf bagaimanapun ia ditolak oleh Qaher.
Berang dengan keadaan tersebut, Qaher juga telah mengajak kesemua pengikutnya untuk memboikot pakaian jenama berkenaan dengan meletakkan tanda pagar (#) BoycottZara bagi menzahirkan protes terhadap perbuatan itu.

Setakat ini, pihak Zara difahamkan masih belum menegeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kontroversi yang didakwa terhadap Palestin.

Bumi Palestin ketika ini masih menyaksikan insiden pertumpahan darah berlaku apabila serangan secara berterusan dilakukan pihak rejim Zionis.

Ini termasuk kemusnahan yang dibuat melibatkan beberapa bangunan termasuk hospital, sekolah, masjid dan juga kediaman penduduk.

Lebih menyayat hati, kediaman asal penduduk Palestin telah dirampas pihak rejim membuatkan penduduk Palestin hilang arah dalam mencari perlindungan.

Konflik yang melanda di Palestin hampir beberapa dekad menyaksikan ribuan nyawa penduduk Palestin terkorban termasuk kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa.