Suami sempat selfie bersama sebelum tolak isteri hamil 7 bulan sampai mati akibat jatuh dari tebing bukit

NAK claim insurans punya pasal? Sepatutnya pasangan ini dalam persiapan untuk menyambut cahaya mata yang bakal dilahirkan lagi dua bulan, namun bertukar tragedi dek kerana sikap tidak berhati perut si suami, lapor portal Gulapop.

Seorang lelaki di Turki, Hakan Aysal, 40 dibawa ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya Semra Aysal dan bayi mereka yang masih belum lahir ketika sedang bercuti di Butterfly Valley di bandar Mugla, Turki.

Memetik laporan asal portal Mirror, sebelum membunuh isterinya, Hakan dilaporkan mengambil gambar swafoto bersama isterinya yang hamil tujuh bulan kemudian menolak isterinya jatuh dari tebing bukit.

Pendakwaraya berkata, kemalangan itu sebenarnya adalah rancangan Hakan untuk menuntut wang insurans.

Hakan dituduh melakukan jenayah pembunuhan dengan sengaja apabila dia merancang untuk membunuh isterinya bagi mendapatkan wang insurans kemalangan jiwa sebanyak 400,000 lira Turki (RM250,000) yang mana penerima adalah dirinya sendiri.

Pendakwaraya turut mendakwa alasan mereka duduk di atas bukit itu selama tiga jam adalah kerana Hakan mahu memastikan tiada orang di situ dan terus membunuh isterinya dengan menolak jatuh.

Pihak pendakwa turut menemukan dokumen apabila Hakan telah menuntut pembayaran insurans sebanyak TRY 400,000 selepas isterinya meninggal dunia namun ia ditolak untuk melakukan siasatan.

Dalam satu video temubual bersama abang mangsa, Naim Yolcu mengatakan bahawa ketika mereka sekelurga ke Institut Perubatan Forensik untuk mengambil mayat isterinya, Hakan tidak keluar dari kereta dan reaksinya seolah tiada apa yang berlaku.

“Setelah dia meninggal, kami baru tahu Hakan ada mengambil tiga pinjaman atas nama adik saya. Selain itu, Hakan takut dengan ketinggian, jadi sukan ekstrem apa yang boleh dilakukan olehnya jika dia takut dengan ketinggian?” kata Naim.

Sementara itu, dalam soal jawab bersama mahkamah, Hakan menafikan dia bertangungjawab atas kematian isterinya.

“Dia meminta saya untuk memberikannya telefon. Saya bangun dan kemudian mendengar isteri saya menjerit di belakang saya ketika saya berjalan beberapa langkah untuk mendapatkan telefon dari begnya. Ketika saya berpatah balik, dia tidak ada di sana. Saya tidak tolak isteri saya,” katanya.

Selepas tiga tahun, kes masih dibicarakan di Mahkamah Jenayah Tinggi Fethiye bagi membuktikan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik insiden yang terjadi pada Jun 2018 itu.

Sumber: Gulapop