Status terakhir pramugari sebelum teruk dikerjakan dan dibunuh 11 lelaki – “Penerbangan terakhir tahun ini”

POLIS telah memfailkan pertuduhan merogol dan membunuh terhadap 11 lelaki selepas mayat pramugari ditemui dalam sebuah bilik hotel di bandar Makati, Filipina, lapor portal The Reporter.

Memetik laporan asal portal Daily Star, mangsa, Christine Angelica Dacera, 23, ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi di bilik hotel yang menjadi tempat dia bersama dengan rakan-rakan menyambut ambang Tahun Baharu 2021.

Mangsa kemudian dibawa oleh tiga rakannya dengan bantuan kakitangan hotel ke hospital berdekatan dan pemeriksaan mendapati Christine telah meninggal dunia.

Ketua Polis Bandar Makati, Kolonel Harold Depositar berkata, pihaknya telah menahan 11 lelaki yang merupakan individu terakhir bersama dengan Christine pada waktu kejadian.

Polis kini sedang menunggu hasil laporan bedah siasatan dan toksikologi untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap 11 suspek terbabit.

Biarpun terdapat beberapa dakwaan di laman sosial mangsa sebenarnya maut angkara pembuluh darah pecah, polis tetap percaya motif sebenar kejadian bahawa mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh berdasarkan bahan bukti.

Tiga daripada 11 suspek itu merupakan rakan Christine, manakala bakinya adalah individu yang tidak dikenali oleh mangsa dan merupakan kawan kepada tiga rakan Christine.

Kesemua suspek didakwa atas pertuduhan merogol berikutan penemuan kesan koyakan dan sperma di bahagian kemaluan mangsa. Selain itu, kesan lebam dan cakaran turut ditemui pada badan mangsa.

Bagaimanapun, suspek-suspek yang ditahan polis sehingga kini menafikan mereka terlibat dalam kejadian itu kerana menegaskan mereka sebenarnya golongan gay.

Pada 28 Disember 2020, mangsa ada memuat naik gambar terakhir yang menunjukkan dirinya memakai sut PPE dan bersandar di pintu pesawat beserta kapsyen: “Penerbangan yang terakhir untuk tahun ini.”

Sumber: The Reporter