Silap bawa makanan ‘delivery’ beracun, bapa terkilan nyawa anak melayang

KANAK-KANAK berusia lapan tahun dilaporkan meninggal dunia setelah termakan sate beracun yang dibawa pulang oleh bapanya.

Kejadian yang berlaku di Jogjakarta, Indonesia terjadi apabila kanak-kanak itu dikatakan telah menuang kuah dipercayai bercampur potasium sianida pada sate sebelum memakannya ketika berbuka puasa bersama keluarga.

Mangsa kemudia muntah lalu pengsan dan dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor portal Tribunnews.

Bapa mangsa, Bandiman yang bekerja sebagai penghantar makanan ditemui wartawan kesal dengan apa yang berlaku kepada anaknya, malah menyalahkan dirinya kerana membawa pulang sate tersebut.

“Saya menyesal dengan apa yang berlaku. Anak saya mati kerana saya bawa sate itu pulang ke rumah. Niat saya cuma ingin hantar makanan itu.

“Jika saya tahu sate itu dicampur racun, semua ini tidak akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat pesanan daripada seorang pelanggan wanita yang memintanya menghantar sate berkenaan kepada seorang lelaki ketika dirinya sedang berehat di sekitar masjid daerah Gayam, Jogjakarta.

Wanita tersebut datang memintanya menghantarkan barang kepada seorang rakan bernama Tomi dan memberitahu bahawa dia tidak mempunyai aplikasi penghantaran. Dia juga meminta Bandiman untuk memaklumkan nama pengirim sebagai “Hamid” dari Pakualaman.

Namun ketika Bandiman tiba di alamat yang dituju, Tomi yang dihubunginya berkata tidak mengenali “Hamid”.

“Setelah dihubungi, benar yang mengangkat bernama Tomi dan alamatnya juga benar. Tapi dia kata tidak ada rakan bernama Hamid di Pakualaman.

…Lalu Tomi minta bawa pulang saja paket tersebut untuk berbuka puasa,” kata Bandiman.

Tambahnya, isterinya juga sempat makan beberapa cucuk sate berkenaan namun kesannya tidak teruk.

Hasil pemeriksaan makmal mendapati sate tersebut diletak racun jenis potasium sianida yang mudah didapati dan sering digunakan untuk membunuh hama serta tikus..

Pakar foreksik Universiti Gadjah Mada, Dr Lipur Riyantiningtyas berkata, “Jika termakan dalam kuantiti kecil, racun itu akan menyebabkan rasa mual, muntah, sakit kepala, sesak nafas dan keresahan. Manakala, jika diambil dalam kuantiti banyak, racun itu menyebabkan denyut nadi menjadi lambat dan mangsa akan mula hilang kesedaran sehingga meninggal dunia”.

Dalam pada itu, pihak polis masih memburu suspek wanita yang mengirim makanan itu.

Suspek dilaporkan mempunyai kulit cerah, berusia dalam lingkungan 25 tahun dan berketinggian kira-kira 160 sentimeter.