Selebriti Tiktok Mesir ditahan atas dakwaan pemerdagangan manusia

SELEBRITI Tiktok berasal Kaherah, Mesir ditahan dua hari lalu selepas dia dan seorang lagi rakannya disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam kes pemerdagangan manusia.

Menurut laporan BBC, Haneen Hossam, 20, memuat naik perkongsian sebuah video pada 21 Jun menyatakan bahawa dirinya tidak bersalah dan tidak pernah menyakiti sesiapa sebelum ini.

Pada 20 Jun lalu, mahkamah di Kaherah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun ke atasnya tanpa kehadiran wanita itu.

Seorang lagi rakannya yang juga merupakan selebriti media sosial popular, Mawada al-Adham, 23, hadir pada prosiding berkenaan dan dikenakan hukuman penjara selama enam tahun.

Kedua-dua mereka, didakwa atas kesalahan mengeksploitasi gadis melalui aplikasi perkongsian video untuk mendapatkan wang.

Keputusan itu diambil lima bulan selepas mahkamah lain menjatuhkan hukuman penjara ke atas Hossam dan Adham kerana ‘melanggar nilai kekeluargaan’ dengan video yang pernah dimuat naik mereka di TikTok.

Aktivis hak asasi manusia berkata, kedua-dua wanita itu sudah diadili sebagai sebahagian daripada tindakan keras pihak berkuasa Mesir yang menyasarkan penyokong media sosial wanita.

Hossam yang juga seorang penuntut Universiti Kaherah mempunyai hampir 900,000 pengikut di TikTok, ditahan pada April tahun lalu sejurus selepas dia menyiarkan video mengajak pengikut perempuannya untuk menyertai platform perkongsian Likee dan memberitahu mereka boleh menjana wang dengan menyiarkan video melalui aplikasi itu.

Pendakwa kemudian menuduhnya dengan ‘melanggar nilai dan prinsip keluarga.’

Adham yang pernah mempunyai tiga juta pengikut di TikTok dan mempunyai 1.4 juta pengikut di Instagram pula dituduh melakukan kesalahan sama pada bulan berikutnya selepas menyiarkan video tidak senonoh seperti didakwa pendakwa raya.

Video itu memaparkan dia menari secara ghairah mengikut irama lagu.

Pada Julai lalu, mahkamah turut mensabitkan Hossam dan Adham serta menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada mereka.

Dalam pada itu, mereka juga didenda 300,000 pound Mesir (RM80,000) setiap seorang. Namun, hukuman dibatalkan selepas mahkamah menerima rayuan kedua-duanya pada Januari dan mereka dibebaskan pada bulan berikutnya.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya kemudian dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu pemerdagangan manusia.

Sumber: Harian Metro