SEORANG wanita yang dikenali sebagai Sara Gomez kini sedang menderita apabila organ penting pada badannya berlubang selepas menjalani satu pembedahan kosmetik di Sepanyol, lapor Kosmo.
Gomez, 39, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas menjalani prosedur pembuangan lemak atau ‘lipo’ di sebuah pusat perubatan di bandar Murcia pada 2 Disember lalu.
Dia yang kini sedang bertarung nyawa dikatakan membayar wang berjumlah €5,700 (RM26,915) untuk pembedahan tersebut.
Pembedahan ‘membunuh’ itu dilakukan bagi membuang lemaknya dan menghentikan lebih banyak sel lemak daripada terhasil.
Gomez dilaporkan tidak stabil selepas pembedahan walaupun doktor memberitahu keluarganya bahawa prosedur itu pada mulanya berjaya.
Sebelum pembedahan, Gomez memberitahu doktor bahawa dia telah pun menjalani pembedahan sedut lemak di bahagian perutnya, namun dia diberitahu bahawa ia tidak akan menyebabkan sebarang masalah.
Bagaimanapun keadaan menjadi buruk selepas dia dipindahkan ke Hospital Santa Lucia, di mana keluarganya mendakwa dia dibiarkan dalam keadaan berdarah dengan teruk.
ibu kepada dua orang anak itu terpaksa menjalani pembedahan selepas didapati mengalami luka pada pelbagai organ termasuk buah pinggang, hati, duodenum dan usus.
Keadaan Gomez itu disifatkan berlaku disebabkan oleh kecuaian perubatan, dengan keluarganya menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Sumber: Kosmo