Demi wifi free punya pasal, bayi dinamakan Twifia

PERCAYA atau tidak, sepasang suami isteri di Switzerland tergamak menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Twifia semata-mata mahu memenangi langganan wifi percuma untuk 18 tahun, lapor Odditycentral.

Cuma pada masa sama, pasangan berkenaan enggan mendedahkan identiti masing-masing kerana bimbang dikecam masyarakat kerana menamakan bayi mereka dengan nama sedemikian.

Pasangan itu pada mulanya terlihat iklan menerusi Facebook daripada Twifi iaitu penyedia perkhidmatan internet di Switzerland.

Berdasarkan iklan itu, individu perlu meletakkan nama Twifus jika mendapat bayi lelaki atau Twifia sebagai bayi perempuan.

Ia sebagai pertukaran untuk perkhidmatan internet percuma selama 18 tahun.

IKLAN menerusi Facebook daripada Twifi iaitu penyedia perkhidmatan internet di Switzerland.

Portal Odditycentral melaporkan, ibu bapa bayi itu yang masing-masing berusia 30 dan 35 tahun itu menganggap nama Twifia tidak terlalu teruk dan memutuskan untuk menggunakan perkataan itu sebagai nama bayi mereka.

Selain itu, mereka memikirkan wang penjimatan daripada langganan percuma wifi itu boleh disimpan untuk kegunaan anak mereka.

Justeru, pasangan itu akhirnya memakai nama Twifia sebagai nama tengah bayi perempuan mereka.

“Semakin lama berfikir, semakin unik nama itu. Itu adalah satu daya tarikan,” kata bapa bayi perempuan itu.

Bagaimanapun, isteri lelaki itu pada mulanya tidak bersetuju dengan idea suaminya, namun akhirnya mengalah.

“Bagi saya, nama Twifi juga bermaksud hubungan dalam konteks ini.

“Terdapat banyak nama yang lebih buruk. Dan lebih kerap kita menyebut Twifia nama itu lebih sedap bunyinya,” kata ibu muda itu.

Bagaimanapun, media melaporkan pasangan itu enggan identiti mereka dikenali kerana bimbang pandangan serong masyarakat.

“Kami tidak mahu dikenali orang sekeliling,” kata mereka. – Agensi

Sumber: Harian Metro