‘Pishang’ isteri membebel, suami panjat pencawang ‘cari ketenangan’

APA biasanya yang dilakukan suami apabila bertengkar dengan isteri? Mungkin, ada yang keluar memancing tak pun melepak di kedai mamak berjam-jam lamanya.

Namun, lain pula ceritanya di pekan Moradabad, Uttar Pradesh, India, apabila seorang suami bertindak luar biasa apabila memanjat ke puncak menara pencawang telekomunikasi di kawasan Pakwara.

Lelaki berkenaan bertindak sedemikian hanya kerana muak mendengar bebelan dan bosan akibat selalu bergaduh dengan isterinya.

Gulf News melaporkan Tejpal Singh bertindak demikian untuk menyejukkan hatinya yang panas gara-gara pertengkaran dengan isterinya.

Malah, dia juga enggan turun apabila diminta orang ramai yang melihat kejadian.

Dia hanya bersetuju untuk turun dari menara pencawang telekomunikasi itu selepas campur tangan pihak berkuasa tempatan dan polis yang meyakinkannya untuk turun.

Dia mula lembut hati dan bersetuju turun selepas berkali-kali dipujuk.

Tejpal (kiri) sering memanjang pencawang berkenaan setiap kali muak mendengar isterinya membebel.

“Saya muak dengan isteri saya. Dia cuba mengenakan saya dengan pelbagai tuduhan palsu.

“Malangnya polis enggan mendengar penjelasan saya.

“Saya rasa mahu memutuskan hubungan ini,” kata Tejpal memetik laporan berita tempatan.

Polis mengatakan ini adalah perkahwinan kedua Tejpal dan pasangan itu sudah banyak kali bertengkar mengenai beberapa isu.

Kejadian itu turut mencetuskan reaksi dalam kalangan pengguna di Twitter sehingga trending apabila ada di antara mereka berkongsi berita itu dan mendapat ulang ciap termasuk komen lucu.

Ciapan @PkPraamod “Mungkin dia panjat menara telekomunikasi itu dengan harapan dapat memutuskan capaian talian telefon isterinya.”

Sementara ciap @abhishaek agak sinis apabila berkata: “Boleh tak seseorang tolong panjatkan pencawang kawasan saya dan melaraskan semula antena, syarikat telekomunikasi tidak berbuat apa walaupun sudah banyak kali aduan berkenaan akses yang teruk.”

Ada juga yang bersimpati dengan Tejpal, seperti komen @FoodieAkshay yang mengatakan dia merasai dan memahami apa yang berlaku kepada Tejpal.

Sumber: Harian Metro