Penduduk panik sungai berdarah

PENDUDUK tempatan gempar melihat air sungai di bandar Kemerovo, rantau Siberia, Rusia bertukar menjadi merah seperti darah baru-baru ini, lapor portal The Sun.

Beberapa penduduk berkata, tiada seekor haiwan pun mendekati sungai tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan mereka bahawa bahawa air sungai itu beracun.

“Warna air sungai itu seperti sup borscht (sup tempatan yang dihasilkan daripada ubi bit merah) dan ia mungkin lebih beracun daripada yang kami sangka,” kata seorang penduduk setempat.

“Ia bukan lagi sungai tetapi kelihatan seperti jeli kranberi,” kata seorang penduduk, Elena Dubrovskaya.

Sementara itu, Timbalan Ga­benor Kemerovo, Andrei Panov berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian tersebut selepas menerima aduan penduduk.

Katanya, perubahan warna sungai itu disebabkan air yang tidak mengalir, namun bahan kimia yang menyebabkannya bertukar menjadi merah masih belum dapat dipastikan.

“Sistem pengaliran air di bandar ini yang tersumbat dipercayai menjadi punca pencemaran sungai tersebut.

“Polis telah diarahkan untuk memburu pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kejadian ini dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih belum mengetahui sama ada air tersebut berisiko mendatangkan sebarang masalah kesihatan kepada penduduk di bandar itu atau sebaliknya.

Sumber: Kosmo!