Home Berita Luar Negara Memang lawak! Pencuri dicekup selepas cuba jual motor kepada owner asal

Memang lawak! Pencuri dicekup selepas cuba jual motor kepada owner asal

TAK tahulah sama ada mahu menangis ataupun ketawa mengenangkan nasib malang seorang pencuri apabila tidak menyedari motosikal yang dicurinya itu sebenarnya cuba dijual kembali kepada pemilik asal.

Tindakan lelaki itu bukan saja gagal mendapatkan wang mudah, malah dia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek mencuri motosikal berkenaan pada 10 Oktober lalu di kawasan parkir hotel di Jakan Tuanku Tambusai.

“Mangsa menginap di hotel berkenaan dan menyedari motosikal miliknya hilang selepas keluar dari hotel berkenaan,” kata Ketua Polis Bukit Raya, Asisten Komisioner Ary Prasetyo kepada portal Kompas.com.

Motorsikal yang cuba dijual semula suspek kepada pemilik asal.

Beberapa hari kemudian, mangsa dimaklumkan motosikalnya diiklankan di laman jualan online.

Mangsa bersama rakannya kemudian berusaha memperdayakan suspek dengan menyamar sebagai pembeli.

“Mangsa dapat maklumat motosikalnya dijual selepas ada rakannya yang melihat iklan jualan di laman jualan dalam talian.

“Mereka kemudian berpakat untuk menangkap pencuri itu dengan menyamar sebagai pembeli,” kata Ary Prasetyo.

Pada Rabu lalu, mangsa dan suspek bertemu di tepi jalan untuk urusan jual beli motosikal berkenaan.

Ketika berurus niaga, suspek kemudiannya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ary Prasetyo berkata, suspek tidak sempat melarikan diri dan terkejut selepas dia ditangkap pemilik motosikal itu sendiri. – Agensi

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version