Pelawak di sebalik meme terkenal meninggal dunia

PELAWAK kelahiran Sepanyol, Juan Joya Borja atau lebih dikenali sebagai Él Risitas’ dilaporkan meninggal dunia pada Rabu.

Mendiang yang terkenal dalam paparan meme di laman sosial disahkan meninggal dunia di Virgen de Rocío University Hospital, Seville, Sepanyol setelah keadaan kesihatannya semakin merosot, lapor Awani.

Bagaimapun punca kematian sebenar masih tidak didedahkan.

Video asal jenaka Él Risitas’ yang mendapat perhatian dunia.

Menurut laporan BBC pula, Borja telah dimasukkan ke hospital sejak September tahun lalu kerana menghidapi pelbagai masalah kesihatan.

Dia mula dikenali sebagai ‘Spanish laughing guy’ viral sejak penampilannya dalam program lewat malam Ratones Coloraos pada 2014 dijadikan meme oleh pengguna media sosial seluruh dunia.

Dalam program tersebut, Borja berjenaka apabila ditanya oleh pengacara berkenaan nasib buruknya bekerja sebagai pembantu dapur.

Kedua-dua mereka dilihat tidak dapat menahan ketawa lantas membuatkan peminat menggunakan wajahnya sebagai meme, termasuk melakukan pelbagai parodi.

Pada Mac lalu, Borja berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya kerana telah menganjurkan kempen mengumpul dana untuk membeli skuter elektrik setelah salah satu kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kesihatan.

Sumber: Awani