Nenek tiga cucu bertemu jodoh di Tinder dengan bakal suami umur 22 tahun – “Ramai sangka saya ni emak dia…”

NENEK power! Seorang wanita berusia 50 tahun di Carolina Utara, Amerika Syarikat bakal mendirikan rumah tangga dengan ‘pucuk muda’ berumur 22 tahun selepas mereka berkenalan menerusi laman cari jodoh, Tinder, awal tahun lalu, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Mail kelmarin, Sharon Hawkins, 50, bertemu teman lelakinya, Perry Hopstein di Tinder selepas merendahkan julat usia carian lelaki idamannya kepada berumur 19 tahun dan ke atas.

Sharon berkata, dia sering disangka ibu kepada Perry setiap kali mereka keluar bersama, malah kekasihnya lebih muda berbanding tiga anak wanita itu.

“Saya dan Perry ditakdirkan untuk satu sama lain. Kami tidak peduli apa yang orang lain fikirkan tentang hubungan ini,” katanya.

Sharon bercerai dengan suaminya pada 2015 selepas berkahwin selama 16 tahun dan mula menyedari bahawa dia tertarik kepada lelaki lebih muda.

“Selepas berpisah dengan suami, saya nekad mencari teman hidup yang sesuai dengan personaliti saya yang spontan.

“Ketika saya mengenali Perry yang juga seorang anggota tentera laut, saya memberitahunya bahawa saya seorang nenek dan mempunyai tiga orang cucu tetapi dia tidak kisah,” kata Sharon.

Tambah wanita yang bekerja sebagai guru sekolah menengah itu, mereka pernah berpisah seketika kerana merasakan percintaan tersebut agak mustahil.

Namun, hubungan mereka kembali intim beberapa bulan kemudian dan menjadi semakin serius apabila Perry mula tinggal sebumbung dengan Sharon ketika penularan pandemik Covid-19 tahun lalu.

Kini mereka bertunang dan merancang untuk berkahwin pada tahun ini.

Sumber: Kosmo!

Most Popular