Nak melancong ke Thailand? Bayaran sehingga 300 Baht bakal dikenakan!

BERMULA 1 Jun 2023, setiap pelancong yang ingin masuk ke Thailand akan dikenakan bayaran berjumlah antara 150 (RM19.25) dan 300 baht (RM38.45).

Keputusan ini dibuat oleh Kabinet Thailand untuk membiayai pembangunan dan penyelenggaraan tempat tarikan pelancong serta perlindungan insurans pelancong.

Sebanyak 300 baht akan dikutip daripada pelawat yang tiba melalui udara manakala 150 baht daripada yang masuk melalui sempadan air dan darat.

Pemegang pasport Thailand, pasport diplomatik, permit kerja dan permit kerja khas (untuk profesional tertentu), kanak-kanak di bawah umur dua tahun, penumpang transit serta pelawat yang masuk dan keluar pada hari yang sama bagaimanapun dikecualikan daripada bayaran itu.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Traisulee Traisaranakul menjelaskan Thailand adalah salah satu di antara 40 negara di dunia yang mengutip yuran kemasukan daripada pelancong asing.

Namun Thailand merupakan negara yang pertama menggunakan kutipan itu untuk manfaat pelancong.

“Bayaran berkenaan akan digunakan untuk mengembangkan lagi industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia juga menjelaskan kos perbelanjaan perubatan di hospital awam yang ditanggung Thailand mencecah hingga 400 juta Baht setiap tahun untuk merawat pelancong asing.

Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Bernama