Mesir buka sempadan, hantar ambulans bantu warga Palestin. Cuti doktor dan jururawat turut dibekukan

MESIR membuka sempadan Rafah hari ini bagi membolehkan 10 ambulans membawa warga Palestin yang cedera parah akibat serangan udara tentera Israel ke hospital di Mesir, lapor Berita Harian.

Pegawai di sempadan Gaza berkata, pembukaan sempadan itu adalah ‘pengecualian’ kerana kebiasaannya ia ditutup pada cuti umum termasuk perayaan Aidilfitri.

Pihak berkuasa kesihatan Mesir berkata, cuti Aidilfitri bagi doktor dan jururawat di negara berkenaan ditarik balik sebagai persediaan untuk menerima mereka dari Gaza.

Sempadan Rafah biasanya dibuka pada hari bekerja.

Pegawai kesihatan di Gaza berkata, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 139 individu, termasuk 39 kanak-kanak dan 950 lain cedera.

Pertempuran terbaru antara Palestin dan Israel bermula Isnin lalu berpunca daripada insiden di Masjid al-Aqsa, susulan tindakan Israel yang mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Selain itu, ia juga disebabkan tindakan pasukan keselamatan Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa.

Imam besar masjid dan universiti Al-Azhar yang terkenal di Mesir, Sheikh Ahmed al-Tayeb, Jumaat lalu melancarkan kempen di media sosial untuk ‘menyokong rakyat Palestin’.

“Hentikan pembunuhan itu,” katanya.

“Cukup-cukuplah dengan berdiam diri dan sikap pilih kasih kalau kita benar-benar berusaha menuju perdamaian.”

Sumber: Berita Harian