‘Mayat’ wanita ini hampir dibakar gara-gara disangka sudah meninggal dunia

SEORANG wanita warga emas yang dipercayai telah meninggal dunia akibat virus Covid 19 tiba-tiba sedar beberapa minit sebelum upacara pembakaran mayatnya dilakukan di Baramati, India.

Difahamkan wanita yang dikenali sebagai Shakuntala Gaikwad, 76, disahkan positif Covid 19 dan dibawa ke hospital pada 10 Mei selepas keadaan kesihatannya semakin buruk, lapor portal berita India Today.

Ketika menerima rawatan di hospital, Gaikwad tidak sedarkan diri dan disangka telah meninggal dunia.’Mayatnya’ dibawa pulang ke rumah keluarga sejurus selepas itu.

Sewaktu upacara pembakaran mayat sedang dilakukan, Gaikwad tiba-tiba membuka mata dan terus menangis. Menurut pegawai polis, Santosh, Gaikwad dikejarkan ke Hospital Silver Jubilee bagi menerima rawatan.

Dalam pada itu, krisis Covid 19 di India semakin memburuk beberapa minggu ini. Pada 15 Mei lalu, negara itu mencatatkan lebih 326,000 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam dan kes kematian pula mencecah 4,000 kes setiap hari.

Sepanjang minggu lalu, India merekodkan lebih 1.7 juta kes positif baharu dengan lebih 20,000 kes kematian. Kenaikan mendadak ini telah melumpuhkan sistem kesihatan negara itu terutamanya di kawasan pedalaman.

Sumber: Awani