Jejak kasih… Hanya pakai Google Maps, mangsa culik kini kembali ke pangkuan keluarga selepas lebih satu dekad

SIAPA sangka hanya dengan menggunakan aplikasi Google Maps, seorang remaja lelaki yang pernah diculik semasa dia berumur lima tahun akhirnya disatukan semula dengan keluarga selepas lebih satu dekad, menurut laporan Daily Mail.

Ervan Wahyu Anjasworo, 17, dari Kabupaten Sragen di Jawa Tengah, Indonesia mendakwa seorang penghibur jalanan menculiknya semasa pulang dari sebuah kedai permainan video kira-kira 11 tahun lalu.

Ervan dipaksa bekerja sebagai penghibur di jalan-jalan raya di sekitar Indonesia oleh penculik itu selama dua tahun.

Semasa beraksi di jalan raya, satu serbuan polis menyebabkan penculik melarikan diri dan meninggalkan kanak-kanak itu. Ervan yang ketika itu ditemui pihak berkuasa kemudiannya dihantar ke sebuah rumah anak yatim.

Ervan mengimbau kembali kenangan bersama keluarga kandung dan cuba mengingati tempat-tempat yang pernah dilawatinya menggunakan aplikasi Google Maps.

Ervan yang membesar di rumah anak yatim itu sering mengimbau kembali kenangan bersama keluarga kandung dan cuba mengingati tempat-tempat yang pernah dilawatinya.

Dia menggunakan Google Maps untuk membuat pencarian lokasi dan melihat pasar tradisional Gonggang, salah satu tempat yang pernah dikunjungi bersama neneknya.

Ervan memberi alamat lokasi itu kepada petugas sosial di rumah anak yatim itu. Pegawai berkenaan menghubungi pengurusan pasar untuk membantu menjejak keluarga remaja berkenaan.

Ervan kembali disatukan bersama keluarga selepas diculik lebih 11 tahun lepas.

Satu kiriman gambar keluarga kemudiannya diserah kepada Ervan untuk proses pengecaman dan dia mengesahkan itu adalah keluarga kandungnya. Selepas itu, mereka disatukan semula.

Bapa Ervan, Suparno mengakui dia hampir berputus asa mencari anaknya selepas buntu berusaha mencarinya sejak 11 tahun lalu. – Agensi

Sumber: Kosmo!