“Gara-gara Covid-19, kami terpaksa makan tikus dan ular sebab takde duit”

KALI pertama gelombang pandemik koronavirus Covid-19 melanda Myanmar awal tahun ini, Ma Suu, 36, terpaksa menutup kedai ulam-ulaman dan menggadaikan barang kemas untuk membeli makanan, lapor agensi berita Reuters.

Namun semasa gelombang kedua apabila pemerintah mengeluarkan perintah ‘duduk dalam rumah’ pada September lalu, Ma Suu terpaksa menutup kedainya di Hlaing Thar Yar, Yangon untuk kali kedua serta bergolok-gadai menjual pakaian, pinggan mangkuk dan periuk demi kelangsungan hidup.

Sekarang apabila tiada apa-apa lagi untuk dijual, suaminya seorang buruh binaan yang tidak mempunyai kerja terpaksa keluar mencari makanan di longkang berhampiran tempat tinggal mereka di pinggir bandar Myanmar.

“Orang ramai makan tikus dan ular. Tanpa wang, bagaimana mereka hendak memberi makan anak-anak,” kata Ma Suu sambil mengelap air mata.

PENDUDUK yang tiada punca pendapatan terpaksa menjadikan haiwan seperti serangga, ular dan tikus sebagai makanan di Myanmar. – Reuters

Mereka tinggal di Hlaing Thar Yar, sebuah kejiranan paling miskin di Yangon dan penduduk terpaksa menyuluh bawah rumah mencari haiwan-haiwan kecil untuk dijadikan makanan keesokan harinya.

Tikus, ular dan serangga seringkali menjadi lauk-pauk keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar, sementara penduduk bandar pula terpaksa mengikat perut semampu boleh.

GOLONGAN miskin di Myanmar terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menjadikan tikus sebagai lauk-pauk. – Reuters

Dengan lebih 40,000 kes dan 1,000 kematian akibat Covid-19, Myanmar antara negara di Asia Tenggara yang paling terjejas teruk dan penguatkuasaan perintah berkurung menyebabkan ratusan ribu penduduk seperti Ma Suu hidup dalam kesempitan.

Pentadbiran tempatan, Nay Min Tun berkata, kira-kira 40 peratus isi rumah di kawasan Hlaing Thar Yar menerima bantuan.

Myat Min Thu, ahli Parlimen parti pemerintah di kawasan itu berkata, bantuan dari pemerintah dan derma peribadi sudah diedarkan, namun tidak cukup untuk semua orang. – Agensi

Sumber: Sinar Harian