Lori bawa produk Apple bernilai RM27 juta kena rompak!

PRODUK Apple bernilai kira-kira £5 juta (RM27 juta) telah dicuri dari sebuah lori dalam satu kejadian rompakan di Northamptonshire, United Kingdom.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan ke arah selatan pada lewat petang 10 November lalu.

Antara barangan yang dicuri termasuk iPhone 11, AirPod dan Apple Watch, yang diletakkan di atas 48 pallet.

Difahamkan, pemandu dan pengawal keselamatan telah diikat dan perompak memandu lori itu ke Crick, sebuah kampung dalam daerah Daventry, sebelum memindahkan semua barang ke dalam sebuah treler.

Perompak kemudiannya meninggalkan pemandu lori dan pengawal keselamatan dan meneruskan perjalanan.

Treler terbabit dijumpai di Lutterworth, Leicestershire, di mana produk Apple berkenaan dipercayai telah dimuat naik ke dalam satu lagi kenderaan lain.

Polis Northamptonshire meminta kerjasama orang ramai yang ditawarkan barangan Apple dengan harga murah, agar tampil menghubungi mereka.

Sumber: Awani