Lelaki sembur racun serangga dalam mulut meninggal akibat serangan jantung

SEORANG lelaki ‘kebal’ berasal dari Indonesia, menjadi tular kerana aksi berani dia menyembur racun serangga ke dalam mulutnya dilaporkan meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, menurut Daily Star, anggota keluarga Ki Galang Pamungkas mengesahkan bahawa kematiannya tiada kaitan dengan aksi berbahaya tersebut.

“Sebagai adik lelakinya, saya menolak khabar angin mengatakan bahawa abang saya mati disebabkan racun serangga. Ki Galang sebaliknya meninggal dunia disebabkan serangan jantung pada pukul 6.15 pagi (waktu tempatan) 2 Mei lepas”, jelas adiknya, I Nyoman Saputra.

Menurutnya lagi, “Dia mati di sebuah hospital di Jimbaran, Bali. Doktor telah mengeluarkan rekod perubatan menyatakan bahawa punca kematiannya adalah disebabkan serangan jantung”.

Terdahulu, video yang memaparkan Ki Galang menyembur racun serangga Baygon ke dalam mulutnya tular sehingga ramai netizen meluahkan rasa risau bahawa kematiannya mungkin disebabkan oleh tindakannya itu.

Dalam video tersebut, guru kerohanian yang berasal dari Bali itu dilihat duduk bersilang kaki dan mengikut alunan muzik sambil menyembur racun yang boleh membunuh serangga seperti semut dan lipas itu ke dalam mulutnya.

Tambah I Nyoman, video tersebut sebenarnya telah dirakam dua tahun lepas, dan keluarganya telah memastikan bahawa lelaki itu tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Selepas itu, abang saya tidak lagi mengulanginya kerana keluarga tidak membenarkan dia membuat lagi aksi itu,” katanya.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, antara kesan jangka pendek akibat terkena semburan Baygon termasuk kabur penglihatan, pening, muntah-muntah dan berpeluh.

Sumber: Kosmo