ROGOL dan rompak! Itu modus operandi seorang lelaki yang mempunyai nafsu songsang.
Dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun selepas didapati bersalah merogol dua lelaki lain sebelum bertindak merompak mangsa, lapor Kosmo.
Lelaki yang dikenali sebagai Aaron Goodey berkenalan dengan kedua-dua mangsa menerusi aplikasi ‘dating’ Grindr sebelum berjumpa mereka di kediaman masing-masing.
Goodey yang baru berusia 23 tahun dilaporkan merogol mangsanya sebelum memaksa mereka mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran wang serta mengancam untuk terus melakukan serangan ke atas mangsa.
Tertuduh juga dikaitkan dengan jenayah ketiga yang berlaku pada Januari 2020, di mana seorang lagi mangsa dilaporkan diserang sebelum dipaksa mengeluarkan wang oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya.
Goodey disabitkan dengan ketiga-tiga insiden berdasarkan bukti forensik termasuk rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan data telefon.
“Aaron Goodey merupakan seorang penjenayah serangan seksual yang berbahaya dan mengancam kaum lelaki di London.
“Tertuduh mempunyai akses untuk memasuki rumah-rumah mangsa sebelum menyerang mereka secara seksual serta mengancam menggunakan kekerasan untuk mendapatkan wang,” kata pegawai penyiasat, Detektif Superitendan Seb Adjei-Addoh.
Tertuduh didapati bersalah atas tiga kesalahan merogol, dua kesalahan merompak dan satu kesalahan peras ugut.
Mahkamah Wood Green menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas tertuduh pada Jumaat lalu.
Sumber: Kosmo