Kopi mengandungi ‘paracetamol’ pula banjiri pasaran Indonesia

AGENSI Penyeliaan Makanan dan Dadah (BPOM) Indonesia  menggesa pemilik perniagaan memastikan ubat-ubatan dan bahan makanan yang dijual berdaftar dengan BPOM.

Gesaan itu dibuat selepas BPOM menemui kopi yang mengandungi bahan kimia perubatan sildenafil dan paracetamol di pasaran, lapor Kosmo.

Jenama kopi itu termasuk Kopi Jantan, Kopi Cleng, Kopi Bapak, Spider dan Urat Madu.

“Kami menggesa pemilik platform seperti Tokopedia dan lain-lain supaya menapis jualan ubat-ubatan, herba, ubat-ubatan tradisional, kosmetik, dan makanan yang diproses bagi memastikan produk tersebut sah dan berdaftar dengan BPOM,” kata Ketua BPOM, Penny K Lukito.

BPOM turut bekerjasama dengan Polis Negara dan Kementerian Komunikasi dan Penerangan (Kemenkominfo) untuk membanteras penjualan ubat-ubatan tradisional dan bahan makanan yang mengandungi bahan kimia perubatan (BKO) di pasaran.

Berdasarkan tinjauan, Kopi Jantan dilihat masih dijual di pasaran dengan harga sekitar Rp60,000 (RM17.40) sebungkus.

“Kami akan terus melaksanakan tindakan intensif terhadap penjualan produk haram secara online,” tegas Penny.

Sumber: Kosmo