Kapal terbang kargo DHL putus dua semasa mendarat

SEBUAH pesawat kargo Boeing 757-200 dikendalikan syarikat kiriman DHL putus dua selepas terbabas ketika pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica semalam.

Pengendali lapangan terbang berkenaan, Aeris, berkata kemalangan itu berlaku jam 10 pagi waktu tempatan, lapor Berita Harian.

Kerja pembersihan selesai serta lapangan terbang dibuka semula jam 3:30 petang semalam.

Perjalanan kira-kira 8,500 pengembara dan 57 penerbangan kargo komersial turut terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang itu.

DHL, sebahagian daripada Deutsche Post AG, berkata semua kru pesawat selamat dengan hanya seorang menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Gambar disiarkan akhbar Costa Rica, La Nacion, menunjukkan sebuah pesawat berwarna kuning dengan logo DHL tertera di sisinya sedang disembur dengan buih pencegah kebakaran selepas ia tersadai di padang berhampiran landasan.

Photo via Twitter

Memetik laporan Berita Harian lagi, bahagian ekor pesawat dilihat terpisah daripada badannya dan salah satu sayapnya juga patah.

Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat berkenaan dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik.

Lantas juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus selepas berlepas.

Jurucakap Boeing Co berkata pihaknya hanya akan menjawab kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

DHL dan pihak berkuasa lapangan terbang berkata mereka sedang bekerjasama bagi mengalihkan pesawat itu tanpa menjejaskan operasi harian lapangan terbang.

“Pasukan tindak balas DHL sudah digerakkan dan siasatan akan dijalankan bersama pihak berkaitan bagi merungkai punca kemalangan,” kata DHL

Sumber: Berita Harian