SEORANG wanita ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dan mengerikan dengan pelbagai luka pada seluruh badan dipercayai dibunuh oleh tunangnya sendiri.
Kejadian berlaku di Moscow, Rusia dan suspek lelaki, 26, telah bertindak ganas membunuh tunangnya pada malam menjelang perkahwinan mereka.
Menurut The Sun, suspek yang merupakan agen pelancongan Rusia telah menghentak mangsa sebanyak 83 kali termasuk pada muka dan badan menggunakan objek, tumbukan dan tendangan.
Suspek juga dilaporkan telah menghentak wajah mangsa menggunakan objek yang dipercayai belakang kapak, menyebabkan tengkorak mangsa retak sekaligus mencacatkan wajahnya.
Suspek kemudiannya cuba melarikan diri ke luar negara, namun terhalang disebabkan sekatan akibat pandemik. Namun, dia telah ditahan di Moscow setelah bapanya memujuk lelaki berkenaan untuk menyerah diri.

Lebih menyedihkan apabila mangsa dikatakan telah membeli busana perkahwinan mereka, namun dibunuh beberapa hari menjelang majlis.

Sementelahan, pasukan penyiasat telah menemubual lima bekas kekasih suspek yang mengesahkan sikap ganas suspek.
Dia dikatakan pernah mengikat seorang wanita dan mengugut untuk mencampak anak wanita tersebut ke luar tingkap.
Sehubungan itu, bapa suspek menafikan bahawa anaknya seorang pembunuh kerana dia (suspek) seorang kidal dan jika diperhatikan kebanyakan pukulan dibuat oleh individu bertangan kanan.
Walau bagaimanapun, rakaman CCTV di lokasi kejadian telah merakam kelibat mangsa dipukul ketika sedang berjalan bersama suspek untuk pulang ke rumah sewa mereka.
Tiada orang lain dilihat masuk ke flat berkenaan dan suspek dipercayai telah keluar daripada rumah tersebut selepas wanita malang itu dibunuh.
Semasa perbicaraan di mahkamah, suspek mengaku tidak bersalah dan mendakwa dirinya tidak mengingati peristiwa berkenaan, lapor The Sun.
Saudara dan kenalan terdekat mereka mendakwa pasangan itu telah lama berhubung selepas berkenalan di tempat kerja dan mereka dilihat saling menyayangi antara satu sama lain.
Namun, kenyataan itu ditepis salah seorang rakan berkata, mangsa terdahulu pernah melaporkan keganasan domestik kepada pihak polis, namun menarik semula laporan dan bersetuju menikahi suspek.