Ibu dan anak maut ditikam penghantar air, suspek dakwa tidak tahan lihat pakaian seksi!

SEORANG wanita dan anaknya maut dibunuh seorang lelaki yang cuba merogolnya dalam satu kejadian di Pinrang, Sulawesi Selatan pada 27 Jun lalu.

Menurut polis, jenazah dua beranak itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh suami mangsa selepas pulang dari kerja.

Terkejut dengan keadaan itu, suami mangsa menghubungi jiran dan membuat laporan polis.

Jurucakap polis Pinrang, Deki Marizaldi berkata, polis menemukan tiga pisau dapur dan satu gunting yang dipercayai digunakan suspek, 19, untuk membunuh mangsa dan anaknya.

Katanya, “Mangsa yang dikenali sebagai Sri Irmawati, 34, mengalami luka tikaman di bahagian pinggang, punggung serta kesan cakaran pada leher”.

“Manakala anaknya, 10, pula ditikam pada bahagian leher dan kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah”, jelasnya lagi.

Suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian dan mengakui dia membunuh kedua-dua mangsa.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai tukang penghantar air dan pergi ke rumah mangsa. Selepas tiba di sana, suspek tidak tahan melihat pakaian mangsa yang didakwa seksi dan terus menolak mangsa ke dalam bilik tidur dan cuba merogolnya, namun mangsa melawan.

“Keadaan itu menyebabkan suspek mengambil pisau di dapur dan terus menikam mangsa sebanyak dua kali. Anak mangsa yang ternampak kejadian itu selepas keluar dari bilik air terkejut turut menjadi mangsa pembunuhan suspek,” ujar Deki.