
SEORANG guru agama dijatuhkan hukuman mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Bandung selepas disabitkan kesalahan merogol 13 pelajarnya sehingga hamil dan melahirkan anak.
Guru agama yang dikenali sebagai Herry Wirawan atau H itu sebelum sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kes jenayah rogol yang dilakukan, lapor Detik News.
Keputusan hukuman baharu itu dibuat selepas hakim membenarkan rayuan oleh pendakwa raya.
“Selepas menerima rayuan yang dikemukakan pendakwa raya, maka Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati terhadap H,” kata Ketua Hakim, Herri Swantoro.
Terdahulu, H didakwa merogol kesemua 13 mangsa itu dalam tempoh masa antara 2016 hingga 2021.
Mangsa yang menjadi sasarannya adalah gadis-gadis berumur antara 12 hingga 16 tahun.
Lapan mangsa yang dirogol dilaporkan telah hamil, manakala salah seorang daripadanya pernah melahirkan anak sebanyak dua kali.
Bagaimanapun kegiatan keji guru agama itu terbongkar pada Mei tahun lalu selepas salah seorang ibu bapa mangsa menyedari anak mereka hamil.
Sumber: Detik News