Hilang akal! Curi motosikal, kemudian cuba jual di kedai ahli keluarga mangsa

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua. Itu yang boleh digambarkan apabila seorang lelaki di wilayah Trat, Timur Thailand akhirnya ditahan semasa cuba menjual sebuah motosikal terpakai ke kedai dimana ia merupakan motosikal yang dicuri daripada ahli keluarga pemilik kedai berkenaan.

Suspek yang dikenali sebagai Phanupong Paengcharoen, memberitahu bahawa dia mendapat motosikal itu daripada seorang rakan di daerah Laem Ngob, lapor Kosmo

Rakannya itu didakwa menyuruh Phanupong menjual motosikal itu dan membahagikan wang hasil jualan sesama mereka. 

Bagaimanapun, pemilik kedai itu, Chotipong Chaikitsiripan yang berusia 41 tahun memberitahu akhbar Bangkok Post bahawa dia segera mengenali motosikal itu.

Lebih mencuit hati, suspek juga tidak menukar nombor plat asal.

Chotipong cuba melengah-lengahkan suspek dengan memberitahu bahawa motosikal itu mungkin bernilai 10,000 baht (RM1,275) sementara menunggu polis tiba. 

Polis daripada bahagian siasatan jenayah Meuang segera menahan Phanupong yang berusia 29 tahun.

Motosikal itu adalah milik kakak ipar Chotipong yang melaporkan bahawa ia dicuri pada 8 April lalu. 

Phanupong kini ditahan dan didakwa atas tuduhan mencuri ketika polis meneruskan siasatan berhubung kes kecurian berkenaan.

Sumber: Kosmo