Home Berita Luar Negara Frust dapat duit tip ‘ciput’, rider ambik balik makanan customer

Frust dapat duit tip ‘ciput’, rider ambik balik makanan customer

SEORANG penghantar makanan bertindak membawa pulang makanan yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan kerana berang diberikan duit tip yang sedikit, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal akhbar Daily Star kelmarin, penghantar makanan itu bertengkar dengan pelanggan kerana hanya diberikan tip sebanyak AS$8 (RM32.32).

Rakaman sistem televisyen litar tertutup di pintu kediaman pelanggan terbabit di Smithtown, Long Island itu viral di laman YouTube.

“Saya fikir anda tidak menyedari jarak antara restoran dengan rumah anda kerana jika anda tahu, anda tidak akan memberikan tip yang sangat sedikit.

“Saya memandu selama 40 minit dan sejauh 12.5 kilometer untuk menghantar makanan ini ke rumah anda,” kata penghantar makanan wanita itu.

Penjelasan wanita itu tidak diendahkan pelanggannya yang mendakwa bahawa makanan sepatutnya sampai ke rumahnya dalam masa 15 hingga 20 minit.

Penghantar makanan itu tetap bertegas supaya pelanggannya membayar tip yang lebih banyak, namun permintaannya tidak dilayan.

Berang dengan situasi itu, dia meninggalkan rumah pelanggan sambil membawa makanan yang dipesan bersama-samanya.

Klip video itu menerima pelbagai reaksi dengan ramai netizen menyokong pelanggan tersebut kerana jarak antara restoran dan alamat yang disebut tidak sejauh seperti didakwa penghantar makanan itu.

Jurucakap syarikat penghantaran makanan berkenaan, DoorDash dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku.

“Dasher (penghantar makanan) yang terlibat telah diberhentikan daripada platform kami. Kami telah menghubungi pelanggan terbabit untuk menawarkan ganti rugi dan kesal kerana kejadian seperti ini bertentangan dengan prinsip syarikat,” katanya.

Sumber: Kosmo!

Exit mobile version