Doktor didakwa ‘copek’ organ mangsa kemalangan maut, jual dalam pasaran gelap

FOTO: Associated Press

ENAM orang individu dilaporkan telah dipenjara di China selepas didapati ‘memburu’ keluarga mangsa kemalangan dan menipu mereka untuk mendermakan organ ahli keluarga mereka, lapor New York Post.

Semua pelaku tersebut dipercayai berjaya membuat untung besar hasil jualan organ di pasaran gelap.

Kumpulan itu yang terdiri daripada empat orang doktor yang bekerja dalam pemerolehan organ di sebuah hospital di wilayah Anhui telah mendapat hati dan buah pinggang daripada 11 pesakit yang baru meninggal dunia.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu diantara tahun 2017 dan 2018

Menerusi laporan The Sun, mereka dikatakan sering mencari keluarga mangsa yang mengalami kemalangan kemalangan atau pesakit dengan kerosakan otak yang teruk sebagai mangsa.

Salah seorang daripada mereka kemudian akan memujuk keluarga pesakit untuk menandatangani borang persetujuan derma organ palsu, organ-organ itu akan diambil secara haram pada tengah malam di dalam van yang ‘menyamar’ sebagai ambulans.

Organ tersebut kemudian akan dijual kepada individu lain yang terlibat dalam rantaian pemerdagangan organ manusia.

Perbuatan mereka itu telah dibongkar oleh salah seorang anak mangsa apabila dia meragui mengenai persetujuan derma organ yang diberikan kepada keluarganya setelah kematian ibu mereka pada 2018.

Dia kemudian mendapati bahawa tidak ada rekod mengenai organ ibunya yang pernah disimpan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau Pusat Pentadbiran Pendermaan Organ China di Beijing.

Mereka yang terlibat dalam pemerdagangan organ tersebut dijatuhi hukuman antara 10 dan 28 bulan pada bulan Julai yang lalu.

Bagaimanapun kes itu baru diketahui setelah anak lelaki mangsa membongkar perkara itu pada pihak media.

Sumber: New York Post