Home Berita Luar Negara Curi 80 kad Pokemon, Yu-Gi-Oh demi langsai hutang!

Curi 80 kad Pokemon, Yu-Gi-Oh demi langsai hutang!

DEMI melunaskan hutang, seorang pemuda di Jepun sanggup mengambil risiko memecah masuk premis bangunan yang menyimpan kad edisi terhad siri animasi Pokemon dan Yu-Gi-Oh, lapoR Harian Metro.

Menerusi laporan NHK News Web, Kensuke Nakanishi, 28, melakukan perbuatan itu kira-kira jam 5 pagi ketika individu lain masih nyenyak tidur.

Niatnya adalah menjual semula kad berkenaan bagi mendapatkan wang.

Difahamkan, Nakanishi yang bekerja di syarikat teknologi maklumat mengikat tali pada bahagian hujung bumbung bangunan dan menyambungkan ke badannya.

Ia untuk membolehkannya turun di dinding bangunan berkenaan.

Dia kemudiannya berpaut pada tali dan menuju tingkap di tingkat enam bangunan itu sebelum memecahkan cermin untuk masuk ke dalam premis berkenaan.

Lelaki itu sempat mengambil 80 keping kad daripada dua animasi francais pecah panggung itu yang bernilai 1 juta yen (kira-kira RM37, 649) dan wang tunai 260,000 yen (RM9,789).

Namun, kegembiraan Nakanishi hanya seketika apabila dia ditangkap Polis Tokyo, kurang seminggu selepas kejadian.

Tangkapan itu dibuat selepas pegawai penyiasat berjaya mengesan identitinya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketika disoal siasat, Nakanishi memberitahu polis yang dia aktif dalam kelab mendaki tembok (rock climbing) ketika di sekolah menengah.

“Jadi, itu sebabnya saya tidak gayat berada di tingkat tinggi,” katanya.

Untuk rekod, nilai kad Pokemon keluaran pertama dan sukar didapati boleh mencecah nilai ratusan ribu ringgit sekeping.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version