Bosan duduk rumah, wanita ini akhirnya jana pendapatan dengan hasilkan barang kemas guna susu badan sendiri!

KREATIVITI sememangnya tiada batasan! Seorang wanita yang tinggal Wirral, England menarik perhatian ramai selepas menghasilkan koleksi barang kemas diperbuat daripada susu badannya sendiri.

Alison Hawthorn merupakan seorang suri rumah, mula menghasilkan koleksi berkenaan selepas dikatakan cuba mengisi masa lapang sepanjang tempoh perintah berkurung akibat COVID-19 dan menjual koleksi itu dalam talian, lapor Kosmo.

Wanita berusia 30 tahun itu memulakan perniagaan tersebut itu sejak tahun lepas selepas bereksperimentasi dengan lebihan susu badannya untuk menghasilkan aksesori yang boleh dipakai.

Menurut Alison, sejak dia memuat naik gambar barang kemas seperti rantai dan cincin yang diperbuat daripada susu badannya, ramai wanita membuat tempahan dengan menghantar susu badan mereka untuk dijadikan perhiasan.

“Ketika perintah berkurung tahun lepas, saya hampir menjadi gila duduk di rumah dan hanya menghadap anak-anak sepanjang hari.

“Jadi saya secara tidak sengaja menemui hobi kreatif ini yang akhirnya bertukar menjadi perniagaan dalam talian kecil-kecilan,” jelasnya.

Menurut Hawthorn, bagi menghasilkan rantai leher contohnya, dia hanya menggunakan 10 mililiter susu badan melalui kaedah pendidihan berganda.

Sumber: Kosmo