Bekas jurutera Amazon bakal cipta aplikasi terjemah bahasa kucing!

KUCING adalah haiwan peliharaan yang sangat manja dan comel. Jadi, tidak hairan jika mereka mempunyai banyak penggemar di kalangan manusia.

Walau bagaimanapun, ramai di antara pemilik kucing yang sukar memahami apa yang cuba disampaikan oleh si ‘bulus’ kesayangan mereka kerana kucing bukanlah antara haiwan bijak berkomunikasi dengan manusia.

Masalah ini terjawab apabila seorang bekas jurutera Amazon, Javier Sanchez kini berusaha untuk mencipta sebuah aplikasi bahasa kucing kepada kata-kata yang bakal difahami oleh manusia.

Javier Sanchez, yang kini menjadi pengurus projek di sebuah syarikat teknologi di Washington berkata, “Kucing sebenarnya tidak mempunyai bahasa. Mereka juga tidak berkomunikasi antara satu sama lain tetapi hanya menyebut ‘meow’ disebabkan fitrah semulajadi…”.

Melalui satu penyelidikan yang dilakukan oleh Sanchez dan rakannya, mereka mendapati kucing sering mempunyai salah satu daripada sembilan niat yang berbeza ketika menyampaikan sesuatu dan setiap bunyi ‘meow’ itu mempunyai makna tersendiri.

Beliau yang kini sedang membina aplikasi ‘MeowTalk’ juga menambah, melalui pengalaman Amazon Alexa, dia cuba berusaha untuk menyahkodkan setiap ungkapan yang disampaikan oleh kucing seperti “saya lapar”, “saya sakit” dan sebagainya.

Ciptaan ini akan mengesan dan menerjemah suara kucing secara terperinci melalui latihan aplikasi dan pemilik kucing juga dapat memberi maklum balas kepada MeowTalk mengenai ketepatan terjemahan aplikasi.

“Menggunakan pembelajaran mesin MeowTalk juga akan menerjemah perasaan dan emosi kucing mengikut keadaan”, tambahnya.

Proses penambahbaikan MeowTalk kini masih dijalankan dan pengguna Apple dan Android boleh memuat turun aplikasi ini apabila ia sudah dilancarkan.

Sanchez dan rakan kerjanya berharap aplikasi ini akan berjaya supaya ia dapat membantu masalah kesalah fahaman di antara pemilik kucing dan kucing.