Bekalan Indomie terjejas kerana perang Ukraine-Rusia

KRISIS pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menyebabkan bekalan mi segera popular, Indomie di kedai-kedai di Indonesia berkurangan.

Seorang pekerja sebuah pasar mini di Indonesia, Muhammad Nasir berkata, dia dihujani dengan pertanyaan daripada pelanggan mengenai kekurangan bekalan mi segera jenama itu, lapor Kosmo.

“Orang ramai bertanya kepada kami mengapa tiada Indomie. Kami masih mempunyai bekalan daripada jenama lain tetapi Indomie adalah yang paling terkenal dan tidak mempunyai sebarang penghantaran dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Kedai-kedai di seluruh bandar terjejas dengan kebanyakannya tiada bekalan,’’ kata Muhammad  Nasir.

Syarikat mi segera itu menghasilkan kira-kira 19 bilion pek setiap tahun untuk dijual di lebih 100 buah negara.

Konflik di Ukraine yang merupakan salah satu pengeksport gandum terbesar di Indonesia telah menyebabkan penghasilan mi segera berkenaan terjejas.

Ukraine mengeksport tiga juta tan gandum dan meslin (bijirin campuran gandum dan rai) ke Indonesia pada 2020, menjadikannya pembekal utama bijirin ke negara itu, demikian menurut Biro Statistik Nasional Indonesia.

Pembantu penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Lestary J Barany berkata, sudah ada bukti bekalan gandum di Indonesia mengalami tekanan.

“Apabila Rusia menyerang Ukraine, aktiviti di pelabuhan Ukraine terhenti. Banyak gudang terletak di timur, dekat dengan kawasan yang diduduki oleh tentera Rusia. Oleh itu, gangguan ke atas bekalan adalah lebih jelas,” kata Barany kepada Al Jazeera.

Syarikat Indomie bagaimanapun dilaporkan tidak memberikan sebarang komen mengenai isu sama ada operasinya terjejas atau sebaliknya.

Sumber: Kosmo