Bayi setahun maut tersepit antara katil dan dinding selepas ‘dijaga’ oleh kanak-kanak 6 tahun

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun dilaporkan meningggal dunia kerana terperangkap di antara katil dan dinding selepas ditinggalkan bersama saudara kandungnya berusia 6 tahun.

Kejadian tersebut dilaporkan terjadi pada 26 Jun lalu sekitar jam 8.40 malam di sebuah di kawasan Spring Valley, Rockland County, New York.

Menurut polis, mangsa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa dan sebaliknya hanya dijaga oleh saudara kandungnya yang masih kanak-kanak.

Apabila pihak berkuasa tiba di tempat kejadian, mangsa dijumpai telah terperangkap di antara katil dan dinding serta tiada lagi tindak balas.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba Spring Valley telah dihantar bagi membantu proses membebaskan mangsa yang tersepit di situ.

Sehubungan kejadian itu, paramedik juga berada di tempat kejadian bagi menyelamatkan bayi yang berusia setahun itu.

Walau bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Nyack akibat mengalami kecederaan.

Jabatan Polis Spring Valley melaporkan ibu mangsa, 36, telah ditahan dan didakwa atas tuduhan pembunuhan.