Siapa yang tidak teruja apabila membeli kereta baru. Lebih-lebih lagi jika kereta yang dipandu keluar dari kedai adalah kereta berjenama mewah, pastinya timbul rasa bangga dan ingin menunjuk di jalan raya.
Mungkin itulah yang dilalui oleh seorang pemandu ini yang terlibat dalam kemalangan setelah hanya 20 minit memandu kereta barunya di atas jalan raya.
Lebih menyakitkan, kereta baru yang dibelinya itu adalah kereta Lamborghini bernilai £200,000 (RM 1,062,348.00) dan dalam kemalangan yang berlaku di West Yorkshire berkenaan, kereta sport mewah tersebut remuk teruk.
Menurut laporan polis, Lamborghini tersebut dilanggar dari belakang oleh sebuah van setelah ia berhenti di lorong laju kerana mengalami kegagalan mekanikal.
Pemandu van tersebut mengalami cedera di kepala akibat perlanggaran itu, namun kecederaannya dipercayai tidak seteruk luka di hati pemandu Lamborghini berkenaan.
https://twitter.com/WYP_RPU/status/1275860418058235904
Seorang pegawai polis dari West Yorkshire berkongsikan gambar nahas jalan raya itu di Twitter, dan mengatakan walaupun ia hanya sebuah kereta, dia pasti akan menangis jika berada dalam situasi pemilik Lamborghini tersebut.
Ekoran daripada kemalangan itu lorong jalan ditutup untuk mengalihkan van dan Lamborghini berkenaan. Maklumat tentang pemandu Lamborghini itu tidak diketahui, namun kebanyakkan yang meninggalkan komen mengkritik pemandu van berkenaan kerana tidak peka dengan apa yang berada di hadapan sehingga boleh melanggar kereta yang tidak bergerak.