Home Berita Luar Negara Stres sikit-sikit meragam, vlogger Rusia bakar kereta mewah berharga RM696,000

Stres sikit-sikit meragam, vlogger Rusia bakar kereta mewah berharga RM696,000

TERTEKAN dengan kereta mewah yang dibeli sering rosak menyebabkan seorang vlogger dari Rusia sengaja membakar kereta itu hingga rentung.

Tindakan nekad vlogger bernama Mikhail Litvin itu membakar kereta Mercedes-AMG G63 yang dibelinya Disember tahun lalu kini ditonton 11 juta pelayar menerusi saluran YouTube rasminya.

Media Rusia melaporkan, vlogger muda itu membeli kereta mewah itu dengan harga 13 juta rubel (kira-kira RM696,000).

Mikhail Litvin nekad membakar kereta Mercedes-AMG G63 yang dibelinya Disember tahun lalu.

Untuk wang sebanyak itu, dia mengharapkan prestasi dan ketahanan kereta mewah itu seperti apa yang diidamkan namun Litvin mendakwa sangkaannya meleset sama sekali.

Katanya, kereta itu hanya digunakan dengan jarak perbatuan 15,000 kilometer tetapi dia mendakwa kenderaan itu sering ‘keluar masuk’ bengkel sejak 10 bulan lalu.

Kesal dengan masalah yang tidak selesai itu termasuk mendakwa pengeluar kereta itu enggan bertanggungjawab, Litzin memutuskan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah itu adalah membakarnya sehingga rentung.

Menurut laporan media tempatan, kereta Litvin dihantar di pusat servis Mercedes sebanyak empat kali, sejak dia membelinya dan pengedar jenama mewah itu enggan menanggung kos membaikinya.

Vlogger itu mendakwa, pengedar menolak untuk membaiki keretanya menyebabkan dia menghantar ke bengkel rakan.

Bosan terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki dengan kos mahal bagi sebuah kereta mewah baharu, Litvin memutuskan untuk memusnahkan Mercedes-AMG G63 itu dengan harapan akan menarik perhatian ramai.

Awal bulan ini, vlogger muda itu memandu kereta itu ke tengah ladang, menyimbah bahagian luar dan dalam kereta itu dengan petrol sebelum menyalakan api.

Dia kemudian pulang ke rumah dengan memandu sebuah kereta lama.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version