Asal barang jadi duit, lelaki ini ‘kebas’ lampu isyarat trafik dan jual dalam talian

SEORANG lelaki ditahan polis selepas kegiatannya mencuri lampu trafik di sekitar Jogjakarta dibongkar polis tempatan.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Jogjakarta, Andhyka Donny Hendrawan, suspek yang dikenali sebagai MENC itu berpura-pura sebagai kakitangan awam yang kononnya bertanggungjawab melakukan penyelenggaraan lampu trafik.

MENC telah ditahan oleh pegawai bersama daripada Agensi Pengangkutan Kota Jogjakarta di rumah saudaranya, di mana mereka menemui beberapa lampu trafik yang telah dicuri.

“Suspek berpura-pura sebagai kakitangan sokongan Agensi Pengangkutan. Dia berkata dia akan membaiki lampu isyarat trafik tetapi sebaliknya membawanya pulang dengan menyewa trak tunda,” kata Andhyka.

Suspek dilaporkan mencuri lampu trafik dari sekurang-kurangnya tujuh tempat di seluruh bandar itu dan menjalankan aktiviti jenayahnya pada waktu malam. 

Dia dipercayai mahu menjual lampu trafik yang dicuri itu secara dalam talian.

MENC telah didakwa atas tuduhan mencuri di bawah Kanun Jenayah Indonesia (KUHP), yang mungkin menyebabkan dia dipenjarakan sehingga lima tahun.

Ketua Unit Trafik Agensi Pengangkutan Jogjakarta, Windarto Kuswandono berkata, MENC telah mencuri lampu trafik yang masih berfungsi sepenuhnya.

“Lampu trafik yang dicuri bernilai sekita 15 juta rupiah (RM4,739) setiap satu,” jelasnya.

Sumber: Kosmo