Al-Qassam lancar serangan balas Zionis, 130 roket ‘dihantar’ ke Israel

BRIGED Al-Qassam mengumumkan pihaknya berjaya melancarkan 130 serangan roket di Askalan, Ntivot dan Sderot di Israel, yang turut memaksa semua penerbangan ke lapangan terbang Tel Aviv dilencongkan.

Sayap tentera Hamas yang digeruni rejim Israel itu, menerusi akaun Telegram rasminya, berkata serangan dilancarkan bagi membalas kemusnahan bangunan kediaman 12 tingkat penduduk Palestin dan kematian komander kanan Hamas, lapor Berita Harian.

Dalam tempoh kurang setengah jam sebelum pengumuman itu dilakukan, pesawat perang Israel mengebom menara Ash Shourouq yang menempatkan pejabat institusi akhbar termasuk premis perniagaan.

Awal pagi semalam, pengganas Israel melancarkan serangan yang menyasarkan pemimpin utama Al-Qassam.

Terdahulu, rejim Zionis itu melancarkan serangan udara terhadap kubu kuat pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza dengan menyasarkan beberapa bangunan utama termasuk ibu pejabat polis.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah penduduk Palestin yang maut akibat serangan udara tentera Israel meningkat kepada 43 orang termasuk 13 kanak-kanak.

Serangan balas itu juga menyaksikan kekuatan aset pertahanan pejuang Palestin apabila lima penduduk Israel maut.

Rejim Zionis memaklumkan, kira-kira 1,500 roket dilancarkan dari Gaza ke beberapa lokasi di Israel.

Kelmarin, tentera Hamas melancarkan roket ke arah hab ekonomi di Tel Aviv sebagai serangan balas selepas tentera Israel memusnahkan blok bangunan 12 tingkat di Gaza, ketika pertempuran antara kedua-dua pihak terus memuncak.

Bulan Ramadan tahun ini kembali mencatatkan siri keganasan di Baitulmaqdis selepas tentera Israel mengusir secara paksa penduduk Palestin di wilayah mereka sendiri di Sheikh Jarrah.

Namun, pertempuran kali ini disifatkan sebagai yang terburuk dengan ada yang menyamakannya dengan perang Gaza pada 2014 dan berpotensi menjadi peperangan secara besar-besaran.

Sumber: Berita Harian