Afrika Selatan bakal beri kebenaran untuk wanita kahwini lebih daripada seorang lelaki?

KERAJAAN Afrika Selatan mencetuskan kontroversi apabila mengemukakan cadangan untuk membenarkan wanita negara berkenaan mengamalkan poliandri.

Menerusi laporab akhbar Daily Mail, usul untuk meluluskan perkahwinan wanita dengan  lebih daripada seorang lelaki pada sesuatu masa itu adalah  sebahagian daripada rancangan menyusun semula Akta Perkahwinan Afrika Selatan.

Namun begitu, seorang usahawan dan personaliti televisyen, Musa Mseleku yang memiliki empat isteri menjadi antara warga Afrika Selatan yang lantang menentang idea tersebut, lapor Kosmo.

“Kelulusan ini akan menghancurkan adat dan budaya tempatan. 

“Wanita tidak boleh mengambil alih tugas dan tanggungjawab lelaki. Adakah selepas ini wanita perlu membayar mas kahwin dan lelaki pelu menggunakan nama keluarga isteri?” soalnya.

Menurutnya, dia tidak akan berdiam diri dalam hal tersebut dan tidak akan membiarkan akta tersebut itu menghancurkan masyarakat Afrika Selatan.

Selain itu, pemimpin pembangkang daripada Parti Demokratik Kristian Afrika (ACDP), Kenneth Meshoe menegaskan undang-undang yang dicadangkan itu akan menghancurkan masyarakat jika hak berpoligami turut diberikan kepada wanita.

Ahli akademik tempatan, Profesor Collis Machoko pula berkata bahawa masyarakat Afrika tidak bersedia untuk persamaan hak tersebut. 

“Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan wanita yang kami tidak boleh kawal,” jelasnya.

Undang-undang Afrika Selatan kini hanya mengizinkan seorang lelaki untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri dan aktivis hak gender meminta kerajaan menggubal undang-undang poligami demi kesetaraan gender.

Sumber: Kosmo!