Tidur tak bangun-bangun sampai bertahun kerana trauma perang, doktor pun bingung cari punca!

RATUSAN kanak-kanak dari keluarga pelarian di Sweden dilaporkan mengalami simptom misteri dimana mereka tidur seperti koma dan tidak bangun selama bertahun-tahun lamanya, lapor akhbar The Sun, kelmarin.

Keadaan itu, yang disebut ‘sindrom pengunduran diri’, membingungkan doktor kerana berdasarkan ujian yang dijalankan terhadap otak menunjukkan mereka responsif terhadap waktu bangun dan tidur walaupun kelihatan seperti idak sedarkan diri, lapor Kosmo.

Menurut laporan pakar, penyakit misteri ini pertama kali muncul di Sweden sekitar 1990-an namun menunjukkan peningkatan pada pertengahan 2000-an.

Antara 2003 dan 2005, 424 kes dilaporkan apabila beratus-ratus lagi kanak-kanak telah diserang sindrom tersebut.

Apa yang menjadi persoalan adalah bahawa keadaan ini hanya mempengaruhi kanak-kanak dari keluarga pelarian di satu negara negara sahaja di dunia iaitu Sweden.

Ahli neurologi, Suzanne O’Sullivan telah melawat sebuah keluarga di Stockholm untuk mengkaji dua adik-beradik perempuan iaitu Djeneta dan Ibadeta yang merupakan pelarian gipsi Roma dari utara India yang menderita gejala tersebut sejak 2015.

“Situasi yang menjadi punca utama kepada situasi sindrom pengunduran diri ini adalah tekanan dan trauma akibat kesan peperangan di negara asal mereka.

“Mereka memikirkan bahawa perang masih berlaku, kehidupan akan kucar-kacir seperti dahulu lalu mula menjauhkan diri daripada dunia dan memilih untuk tidur sehingga keadaan menjadi lebih baik,” katanya kepada akhbar The Times.

Bagi kumpulan kanak-kanak pelarian ini, tidur adalah jalan paling selamat daripada penderitaan sehingga mereka memasuki tahap nyenyak paling dalam dan tidak mampu lagi untuk bangun, membuka mata serta menjalani kehidupan normal.

“Mereka tidak lagi aktif di dunia nyata yang pada fikiran kanak-kanak ini sebagai satu tempat yang menakutkan,” jelas O’Sullivan.

Pesakit yang berumur antara tujuh hingga 19 tahun diberi makan melalui tiub dan keluarga mereka memastikan sendi mereka bergerak melalui fisioterapi.

Laporan The Times yang memetik kenyataan psikologi Sweden mengatakan bahawa anak-anak ini biasanya terbangun selepas keluarga mereka diberi status warganegara meskipun proses itu tidak berlaku dalam masa singkat.

Menurut laporan itu, keluarga yang mencari suaka di Sweden akan disiasat di hadapan anak-anak mereka yang terpaksa mendengar keseluruhan proses yang boleh bertukar tegang itu.

Walaupun terdapat tuduhan bahawa ada pesakit yangmemalsukan penyakit itu, doktor yang pakar dalam penyakit ini menegaskan bahawa kanak-kanak yang berusia tujuh tahun tidak mampu bertahan dalam keadaan tidak responsif bagi satu tempoh panjang.

Sumber: Kosmo