SEORANG wanita yang tular apabila tular selepas videonya bersama warga emas orang kurang upaya (OKU) menaiki motosikal roda tiga dalam cuaca panas terik di Kuala Terengganu mendapat perhatian ramai meminta agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat peribadinya.
Hijrah Soleh, 40 tahun, menjelaskan dia berasa tidak selesa apabila terlalu ramai menghubunginya untuk menzahirkan simpati serta mahu memberi pelbagai bantuan selepas video serta butiran peribadinya tular di media sosial sejak Sabtu, lapor Astro AWANI.
“Alhamdulillah, rakyat Malaysia memang sangat prihatin dan ia terbukti apabila saya ‘dihujani’ terlalu banyak panggilan serta mesej yang mahu menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.
“Namun, dengan rendah hati saya ingin tegaskan bahawa hasil jualan saya masih mampu menampung perbelanjaan dan keperluan hidup setakat ini.
Saya lebih gembira jika bantuan tersebut diberikan kepada golongan lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Video tersebut dirakam di Jambatan Angkat di sini, tanpa pengetahuannya dan tersebar di media sosial menyebabkan warganet tersentuh hati menyaksikan warga emas OKU tersebut yang terpaksa berbaring di bahagian tempat meletak barangan motosikal roda tiga tersebut.
Hijrah Soleh berkata pelbagai kenyataan tidak tepat dibuat oleh warganet di bahagian komen media sosial tersebut, seperti warga emas OKU itu adalah ibunya yang baru pulang mendapatkan rawatan di hospital, menyebabkan lebih ramai bersimpati dan mahu menghulur bantuan.
Wanita tersebut menjelaskan bahawa warga emas OKU itu bukanlah ibu kandungnya sebaliknya ibu saudara yang tinggal bersamanya untuk sementara waktu.
“Saya sangat hargai keprihatinan semua pihak, namun cukuplah sekadar itu, jangan kongsikan lagi maklumat saya seperti nombor telefon dan alamat. Jika mahu membantu, saya lebih suka ia dilakukan dengan cara menyokong perniagaan saya,” katanya yang menjual aiskrim potong dan produk kesihatan di sekitar bandar ini.
Sumber: Bernama, Astro AWANI