TULAR sebuah perkongsian di Facebook mengenai seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa dibelasah suami sendiri masih dalam keadaan koma di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Perkara tersebut didedahkan oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Fazariah Nordin pada 6 Mei dimana kakaknya Jahidah Nordin telah mengalami keretakan pada bahagian tulang belakang, rahang dan muka selain terdapat kesan lebam pada mata dan tangan.
Difahamkan, mangsa juga sedang sarat mengandung anak pertama dan kisah tersebut mengundang perhatian warganet. Ada yang turut sudi melakukan solat hajat dan bacaan Yasin agar mangsa kembali sihat dan pulih seperti sedia kala.
Fazariah turut berkongsi beberapa posting lain di laman Facebook meluahkan rasa terkilan dengan sikap abang iparnya yang seolah-olah tiada hati dan perasaan apabila tergamak bertindak sedemikian terhadap si isteri.
Dalam pada itu, dia juga telah mendakwa bahawa lelaki berkenaan telah meninggalkan kakaknya dalam keadaan yang parah, selain telah membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Apa pun, semoga mangsa dan bayinya berada dalam keadaan selamat dan kembali pulih sihat.