MENGGUNAKAN lampu strob atau lampu siren yang diguna pakai kenderaan pihak berkuasa tanpa sebarang alasan yang kukuh merupakan satu kesalahan yang jelas dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, tindakan seorang individu seolah-olah tidak mengendahkan kesalahan itu apabila pemandu kenderaan jenis Mazda CX-5 dikesan menggunakan lampu tersebut di sekitar Alam Damai, Kuala Lumpur.
Tidak cukup setakat itu, malah pemandu tersebut turut dikatakan memandu di laluan berlawan arus meskipun terdapat kenderaan di hadapannya.
Insiden tular di media sosial semestinya menerima kecaman hebat netizen yang menuntut pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan terhadap pemandu itu.
Kejadian tersebut turut berjaya dirakam menerusi rakaman Dashcam sebuah kenderaan yang kini tular di media sosial.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu disifatkan sebagai mengelirukan oleh netizen selain turut mampu mengundang tindakan menyamar dengan mengambil kesempatan menggunakan lampu berkenaan.
Netizen tidak hanya meluahkan rasa tidak puas hati bahkan turut ‘tag’ beberapa akaun rasmi penguatkuasa bagi memastikan individu tersebut dikenakan tindakan sewajarnya.
Pada masa yang sama, orang ramai meminta pihak berkuasa untuk segera memantau dan mengambil tindakan terhadap kedai aksesori serta akaun-akaun e-dagang di platform Shopee dan Lazada yang menawarkan jualan lampu strob ini.