“HELLO @GrabMY, kenapa rider curi air Starbucks? Order 3 tapi dapat 2 je. Kalau nak aku belanja air, minta je la, bukan curi. Dah report pun Grab buat senyap je. Babi,” demikian tweet lelaki yang mendakwa air Starbucksnya dicuri penghantar makanan, lapor portal The Reporter.
Grab Malaysia kemudian tampil memberi penjelasan bahawa bekas minuman tersebut sememangnya hanya untuk dua minuman sahaja. Tambahan, setiap bungkusan pesanan pelanggan telah ‘diseal‘. Walau bagaimanapun, Grab memberi jaminan untuk membuat semakan terhadap aduan tersebut.
Meskipun begitu, individu berkenaan menegaskan Grab Rider sepatutnya menyemak pesanan itu sebelum membuat penghantaran.
“Still salah Grab Rider juga tak check order betul-betul. Dah tu, apa tugas rider? Hantar je? Gila best buat kerja takde tanggungjawab,” tulisnya di Twitter.
Tweet tersebut mengundang banyak perhatian netizen yang mengecam perbuatannya yang secara sembrono menyerang Grab Rider terbabit. Perkara itu turut mendapat perhatian dari majikan pengadu, Syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd.
“Pihak Bateriku.com ingin memohon maaf atas tingkah laku staf kontrak yang telah terlanjur kata dan bahasa dalam mengeluarkan komen yang tidak sopan berkenaan pemandu Grab di laman sosial tempoh hari.
“Di Bateriku, kami tidak bertolak ansur dengan sebarang perilaku tidak sopan sama ada di dalam atau luar organisasi,” kata kenyataan itu yang turut memaklumkan lelaki berkenaan telah digantung kerja akibat perbuatannya.
Dalam perkembangan terkini, Ezrin Nazan melalui channel YouTube miliknya telah membuat permohonan maaf kali kedua di atas tindakannya itu.
Bagi membuktikan keikhlasannya memohon maaf, Ezrin mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan meminta netizen berhenti menyerang pihak majikannya serta teruskan menyokong perkhidmatan Grab.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas ketelanjuran kata-kata saya di social media yang mana saya telah tweet dan menuduh rider Grab tanpa usul periksa.
“Saya juga memohon maaf kepada rider Grab terbabit dan kepada warga maya atas isu yang panas ini kerana kesilapan saya.
“Jadi untuk membuktikan keikhlasan saya dalam video pemohonan maaf ini dan demi menjaga nama baik Bateriku.com, saya telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan saya sebagai Creative Consultant berkuatkuasa hari ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kosmo! melaporkan susulan tular pekerja kontrak syarikat Bateriku.com., syarikat itu menerima ‘prank’ pesanan makanan yang dihantar ke alamatnya.
Dalam satu kenyataan, Bateriku.com berkata, penghantaran makanan itu dilakukan secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menyusahkan 15 penghantar makanan foodpanda kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Kesemua penghantar makanan menyatakan bahawa mereka menerima pesanan ‘prank’ yang beralamat di pejabat kami dimana mereka menunjukan bukti pesanan makanan di aplikasi mereka.
“Kesemua jenis pambayaran untuk pesanan makananan yang ditempah adalah secara tunai berjumlah hampir RM500,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ujarnya, pihak Bateriku.com telah memaklumkan kepada foodpanda untuk menghentikan sebarang penghantaran makanan kepada alamat syarikat tersebut.
Bagaimanapun, niat pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak tercapai apabila foodpanda tidak mengenakan sebarang caj pembayaran.
“Apa lagi rezeki jangan ditolak, kebetulan waktu makan tengah hari.
“Kesudahannya, makanan yang dipesan oleh ‘prankster’ tadi, sama-sama dikendurikan oleh ‘rider’ foodpanda dan Hero Bateriku,” tambahnya.
Sumber: The Reporter, Kosmo!