GARA-GARA ‘terlalu jelita’, seorang bekas model dan ratu cantik mendakwa dipaksa meletakkan jawatannya di sebuah hospital terkemuka di Transylvania, Romania, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal The Sun, Claudia Ardelean, 27, diminta mengundurkan diri tidak lama selepas dilantik sebagai ahli lembaga pengarah hospital berkenaan.
Difahamkan, Claudia yang mempunyai lebih 40,000 pengikut di Instagram (IG) mempunyai dua ijazah, dalam bidang undang-undang dan pengajian Eropah.
Dia dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Hospital Klinikal Pneumophthisiology di Cluj. Difahamkan, jawatan itu tidak bergaji.
Claudia berkongsi berita gembira di IG pada hari sama ditawarkan jawatan itu iaitu pada 8 Februari lalu.
Wanita itu turut memuat naik gambar di hadapan bangunan hospital sewaktu hadir menandatangani kontrak lantikan.
“Saya bersyukur atas kepercayaan dan sokongan Parti Liberal Nasional Cluj!” tulisnya.
Susulan perkongsian itu, Claudia menerima kritikan daripada orang ramai menuduhnya mendapat jawatan kerana kecantikannya.
Media tempatan melaporkan, tidak lama kemudian Claudia dipaksa meletakkan jawatannya.
Sumber: Harian Metro